KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Korea Selatan Jeon Hyeok Jin pada Kejohanan Dunia 2025 di Adidas Arena, Paris, Perancis.
Pemain berusia 27 tahun yang kembali menyertai kejohanan kompetitif selepas mengalami kecederaan buku lali pada Mac lepas, terpaksa akur dengan kekalahan straight set 17-21, 11-21 dalam tempoh 41 minit.
“Saya gembira untuk menamatkan perlawanan pertama tanpa sebarang kesakitan atau kecederaan,” katanya dalam audio yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
“Sasaran saya selepas ini adalah untuk mendapatkan semula perasaan saya beraksi dalam kejohanan,” katanya.
Ini adalah kekalahan kedua Zii Jia kepada Jeon Hyeok Jin dalam lima pertemuan setakat ini.
Terdahulu, pemain beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King lolos ke pusingan kedua selepas menumpaskan gandingan Jepun Kenya Mitshuhashi-Hiroki Okamura straight set 21-5, 21-13 dalam tempoh 27 minit.
Menanti pasangan negara itu pada pusingan kedua adalah gandingan Thailand Kitinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh yang mendapat bye pada pusingan pertama. – Bernama