KKM patuhi pekeliling JPA pulang awal petugas hamil 22 minggu

PUTRAJAYA: Pihak pengurusan fasiliti Kementerian Kesihatan diingatkan supaya mematuhi Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam yang memberi kebenaran kepada penjawat awam wanita hamil pulang sejam lebih awal daripada waktu kerja biasa apabila usia kandungan mencecah 22 minggu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan ketua jabatan dan penyelia tidak boleh mengambil tindakan yang bercanggah dengan prosedur operasi standard ditetapkan walaupun berdepan sebarang kekangan.

“Saya tahu fasiliti kesihatan KKM sememangnya berdepan dengan masalah kekangan dan sebagainya, namun ia bukan menjadi sebab mengapa kita boleh melanggar peraturan ini.

“Saya mahu sama ada isunya tentang jururawat yang hamil dan juga (pegawai) MySTEP (Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia), semua ini diberikan (dan ketua jabatan dan penyelia) perlu patuh kepada peraturan yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KKM dan Roche (Malaysia) Sdn Bhd bagi inisiatif Penjagaan Kanser Lebih Dekat dengan Komuniti di sini hari ini.

Dzulkefly mengulas laporan media dalam talian yang mendakwa beberapa petugas kesihatan wanita hamil di Klinik Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah di Selangor tidak menerima kemudahan berkenaan seperti diperuntukkan dalam pekeliling JPA.

Laporan itu turut mendakwa kemudahan tersebut hanya diberikan kepada petugas kesihatan yang usia kandungan mencecah 36 minggu atau sembilan bulan.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/2017 menetapkan usia kandungan lima bulan dan ke atas atau 22 minggu dan ke atas melayakkan penjawat awam wanita hamil untuk pulang satu jam lebih awal, berkuat kuasa 1 Jan 2018. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *