Keputusan gali semula kubur pelatih Palapes UTM akan diketahui esok

SHAH ALAM: Keputusan sama ada kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin boleh digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dibuat, akan diketahui esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada tiga pihak iaitu Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai responden pertama dan kedua serta ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun selaku pemohon.

Bhupindar Singh berkata penetapan tarikh itu dilakukan berikutan mahkamah memerlukan masa untuk meneliti afidavit yang baru diserahkan oleh pihak pemohon.

Hadir pada prosiding hari ini Peguam Kanan Persekutuan Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara, Pengarah Pendakwaan Selangor Datin Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara dan peguam Datuk Naran Singh mewakili Ummu Haiman Bee.

Menurut Naran Singh, afidavit tambahan yang difailkan oleh pemohon pada Sabtu lepas (23 Ogos) merupakan salinan transkrip dan pemacu kilat USB membabitkan seorang ‘individu A’ yang berkait dengan kes berkenaan.

Sementara itu, Ummu Haiman Bee, 45, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah mengharapkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya itu dibenarkan bagi tujuan bedah siasat kali kedua, untuk mengetahui punca sebenar kematian anak lelakinya.

Pada 19 Ogos lepas, Ummu Haiman Bee mengemukakan permohonanan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *