KUALA LUMPUR: Penipuan dalam talian terus berleluasa walaupun pelbagai amaran telah diberikan, dengan penipu menggunakan teknik manipulasi psikologi seperti kejuruteraan sosial dan rasa takut terlepas peluang (FOMO) untuk memerangkap mangsa.
Faktor ini menyumbang kepada jumlah kerugian besar, dengan data Kementerian Dalam Negeri mendedahkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, rakyat Malaysia kehilangan RM1.12 bilion.
Jumlah kerugian tersebut bersamaan purata RM6.1 juta lesap setiap hari akibat helah penipuan digital.
Tinjauan Bernama di laman sosial mendapati ramai mangsa berkongsi pengalaman ditipu ketika membeli barangan dalam talian termasuk pakaian yang tidak dihantar atau berkualiti lebih rendah berbanding iklan.
Terdapat juga kes penipuan melibatkan pakej percutian dan pendakian yang sebenarnya tidak wujud.
Lebih menyedihkan, ada yang berkongsi pengalaman pahit pada hari perkahwinan apabila ditipu jurusolek atau jurukamera termasuk pakej bulan madu ke luar negara.
Kerugian melibatkan ratusan hingga ribuan ringgit bagi mangsa yang menempah perkhidmatan melalui media sosial.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Izuan Hafez Ninggal berkata kejuruteraan sosial menjadi senjata penipu kerana ia memanfaatkan kelemahan psikologi untuk meraih kepercayaan mangsa.
“Scammer bijak meraih kepercayaan mangsa melalui ayat yang meyakinkan, audio atau video palsu, ulasan palsu, kod QR palsu dan pelbagai cara lain yang sentiasa diperbaharui.”
“Mereka juga mencipta FOMO menyebabkan emosi mula melebihi logik sebab naif dan kurang pendedahan, pengalaman atau pengetahuan,“ katanya.
Beliau menambah tiada perisian atau perkakasan yang boleh melindungi seseorang daripada serangan kejuruteraan sosial kecuali kesedaran, pengalaman dan sikap berhati-hati sebagai benteng utama.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihatkan supaya pembelian dilakukan melalui platform e-dagang rasmi kerana ia mempunyai mekanisma keselamatan seperti bayaran hanya akan dikreditkan selepas pembeli mengesahkan penerimaan barang.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM itu berkata bagi peniaga, penipuan pula berlaku melalui kad kredit dicuri, resit pembayaran palsu dan dakwaan barang belum diterima atau barangan rosak.
“Terdapat juga kes pembeli menggunakan kad kredit sendiri tetapi selepas barang sampai, mereka membuat laporan kepada bank mendakwa transaksi tidak sah atau dilakukan orang lain,“ katanya.
Mohd Izuan berkata kerugian paling besar sebenarnya bukan sekadar wang ringgit tetapi ketenteraman hidup apabila mangsa terus dibelenggu rasa takut dan bimbang.
“Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa. Jika leka, kita mudah dimanipulasi dan berdepan kecederaan emosi akibat kehilangan wang ringgit, masa dan usaha,“ katanya. – Bernama