Butiran subsidi bersasar RON95 diumum akhir September 2025

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan perancangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan perincian lanjut dijangka diumumkan menjelang akhir September 2025.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan langkah ini diperlukan memandangkan dasar subsidi pukal membebankan fiskal negara tanpa memberi manfaat kepada majoriti rakyat.

“Maka sebab itu atas semangat sama, penyasaran subsidi petrol RON95 sepertimana (juga) subsidi elektrik dan diesel, tidak menjejaskan rakyat terbanyak,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat.

Kerajaan kini berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi bersasar RON95 bersama semua pihak berkepentingan.

Mekanisme yang dipertimbangkan termasuk penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak untuk memastikan pelaksanaan efisien tanpa merumitkan rakyat.

“Mekanisme MyKad adalah dengan memasukkan kad itu dalam terminal pembaca MyKad disediakan kerajaan dan disambungkan dengan Pangkalan Data Berpusat Kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.”

Amir Hamzah menegaskan pelaksanaan inisiatif ini dirangka dengan teliti agar rakyat tidak merasakan perbezaan ketara dalam pengalaman pembayaran sama ada tunai, kad atau MyKad.

Kerajaan akan menyediakan portal awam untuk semakan kelayakan subsidi bersasar RON95 serta pusat perhubungan untuk bantuan dan aduan.

Pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel telah memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan untuk membiayai program kebajikan rakyat.

Program tersebut termasuk peningkatan bantuan SARA, perlindungan sosial serta penambahbaikan prasarana kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *