74 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Tatau

BINTULU: Sebanyak 74 penduduk di petempatan di Seberang Pasar Lama Tatau kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.

Lokasi kejadian terletak di tebing Sungai Tatau kira-kira 46 kilometer dari sini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tatau PBT II Herudin Ealhi mengesahkan kebakaran melibatkan 19 rumah struktur tidak kekal yang bersambung antara satu sama lain.

Sebanyak 17 rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar 20%.

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun melecur 20% di bahagian belakang badan dan telah dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Tatau untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.08 pagi, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai dan bantuan turut disalurkan oleh BBP Bintulu.

“Pasukan bomba menggunakan bot melalui Sungai Tatau untuk sampai ke lokasi dan tiba pada 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya menggunakan empat pam angkut dengan sumber air diambil dari Sungai Tatau memandangkan lokasi kejadian tidak dapat dilalui jentera bomba.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 2.33 petang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *