1,195 sekolah di Johor laksanakan program kempen antibuli serentak

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,195 sekolah di seluruh Johor melaksanakan Program Kempen Antibuli Peringkat Negeri Johor secara serentak hari ini.

Inisiatif ini bertujuan memastikan gedung ilmu itu bebas gejala buli dan selamat untuk pembelajaran serta pembentukan sahsiah pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata ia antara inisiatif “Johor Safe Zone” dalam memastikan negeri itu aman, selamat dan sejahtera untuk generasi akan datang.

“Inisiatif itu simbol kesepaduan semua pihak melibatkan kerajaan negeri, agensi, jabatan, warga pendidik dan pelajar untuk membina kesedaran ‘Buli Bukan Budaya Johor’,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Johor supaya terus bersama kerajaan negeri dalam membanteras budaya buli yang memerlukan kerjasama semua pihak.

Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah mahu gejala buli dibendung dan langkah penguatkuasaan lebih ketat perlu dilaksanakan segera.

Titah baginda menekankan keperluan memastikan institusi pendidikan kawasan selamat bagi kanak-kanak.

Kerajaan Johor turut mewujudkan Hotline Aduan Buli 24 jam melalui talian 03-88849325 dan aplikasi WhatsApp melalui talian 014-8009325.

Saluran aduan ini memudahkan orang ramai membuat laporan berkaitan kes buli. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *