KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji menegaskan bahawa pengurusan operasinya ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan bumiputera Muslim.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mustakim Mohamad (gambar) berkata TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan semula peranannya sebagai institusi simpanan kewangan Islam yang dihormati.
“Kebelakangan ini, TH lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang,“ katanya.
Mustakim menekankan bahawa pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 bumiputera Muslim.
Beliau menjelaskan bahawa pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH.
“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan,“ tambahnya.
TH menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya.
Organisasi itu memandang serius terhadap sebarang hantaran di media sosial yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar.
TH memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah.
TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan. – Bernama