RUU Perolehan Kerajaan beri kuasa undang-undang langgar prosedur

KOTA TINGGI: Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang bakal dibentangkan di Parlimen minggu hadapan akan memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang gagal mematuhi tatacara serta prosedur perolehan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan baharu itu akan memberi kuasa perundangan kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman ke atas pelanggaran proses perolehan.

“Melalui RUU ini, jika ada pihak melanggar tatasyarat perolehan atau prosedur tender, ia dikira satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di sini.

Khaled berkata RUU itu bukan hanya melibatkan Kementerian Pertahanan tetapi akan terpakai ke atas semua kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau menegaskan rang undang-undang ini akan memastikan proses perolehan dijalankan secara telus dan berakauntabiliti.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata bahawa sistem perolehan, khususnya dalam sektor pertahanan negara perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bebas daripada sebarang amalan rasuah atau komisen yang boleh membebankan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini, perolehan aset ketenteraan sering menjadi ruang kepada syarikat dan ejen untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga merugikan negara dan melemahkan kekuatan pertahanan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *