GUA MUSANG: Mastaliza Mulian, wanita Orang Asli suku Temiar, berjaya menukar kad pengenalan baharu melalui bantuan wakil Jabatan Pendaftaran Negara yang datang ke rumahnya di Pos Bihai.
Bapanya Mulian Alok, 54 tahun, menjelaskan bahawa Mastaliza merupakan orang kurang upaya yang tidak berupaya berjalan dan sukar memahami percakapan orang.
“Walaupun anak berusia 29 tahun, namun kami perlu menjaganya seperti bayi termasuk hanya memberi makanan lembut dan perlu memakai lampin,“ katanya.
Mulian mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu setelah menerima aduan mengenai situasi anak ketiga daripada lima beradik itu.
Penolong Pengarah JPN Kelantan Hezri Othman menyatakan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Ihsan memfokus pelaksanaan perkhidmatan pendaftaran di lapangan untuk membantu golongan tidak berupaya hadir ke pejabat JPN.
“Dalam kes ini, pemohon telah membuat kad pengenalan pada usia 12 tahun tetapi belum menukarnya pada usia 18 tahun kerana merupakan OKU terlantar,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap rakyat mencapai umur 18 tahun wajib membuat gantian kad pengenalan selewat-lewatnya apabila berusia 25 tahun. – Bernama