KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan dikenakan terhadap Persatuan Bola Baling Malaysia (MAHF) bagi membenarkan atlet dan pegawai mereka menyertai Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sudah tiba masanya bola baling kembali ke arus perdana dan memastikan atlet serta pegawai tidak menjadi mangsa kepada kemelut melanda persatuan sebelum ini.
“Baru-baru ini kita telah berjumpa persatuan dan mempertimbangkan untuk mereka kembali dan menarik semula penggantungan sebab kita faham mereka melalui proses sukar sebelum ini.
“Kita tak mahu disebabkan proses sukar itu atlet dan pegawai jadi korban. Sudah tiba masanya kita mahu membawa kembali sukan itu dan hantar pasukan kita kalau boleh ke Sukan SEA dan menyertai kejohanan yang diadakan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan Malaysia menyertai semua acara sukan di Sukan SEA 2025 kecuali bola baling.
Pada 2021, Setiausaha Agung MOM ketika itu Datuk Nazifuddin Mohd Najib mengumumkan MAHF dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas gagal menyelesaikan hutang membabitkan perbelanjaan skuad bola baling negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia. – Bernama