KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan membuka tender baharu bagi penyewaan empat buah helikopter untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia selepas pembatalan penganugerahan terdahulu kepada sebuah syarikat yang gagal menunaikan penghantaran empat helikopter Black Hawk berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tender baharu yang akan ditutup pada September itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk jenis helikopter, usia aset, harga sewaan, jangka hayat operasi serta tahap keselamatan penerbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi penggunaan Tentera Darat sudah dibuka dan kita akan tengok masa penilaian, supaya kita ambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
November tahun lepas, Kementerian Pertahanan menyatakan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini telah memenangi tender berkenaan setelah gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan, walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober tahun lepas.
Mohamed Khaled berkata kementerian telah mengambil tindakan tegas dengan mengenakan penalti serta menarik balik wang jaminan yang telah diserahkan daripada syarikat berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun dibatalkan, mengambil kira faktor usia dan tahap keselamatan pesawat terbabit yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa juruterbang.
Sementara itu, mengenai insiden pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya akibat insiden di Pangkalan Udara Kuantan baru-baru ini, beliau memaklumkan sebuah lembaga siasatan khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Beliau berkata pesawat jenis sama digantung operasi buat sementara waktu sehingga hasil siasatan diperoleh, bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
“Daripada lapan pesawat Hornet, kini hanya tujuh beroperasi. Kita mahu pastikan aspek keselamatan diberi perhatian sepenuhnya,“ katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana juruterbang dan kru terselamat dalam insiden berkenaan, serta menyeru semua pihak memberi ruang kepada pasukan penyiasat untuk menjalankan kerja mereka dengan teliti. – Bernama