Melaka rekod pelaburan RM855.63 juta suku pertama 2025

MELAKA: Melaka merekodkan pelaburan sebanyak RM855.63 juta pada suku pertama tahun ini dalam sektor strategik termasuk pembuatan dan perkhidmatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (gambar) menyatakan jumlah ini merupakan kesinambungan daripada prestasi pelaburan tahun lepas yang mencecah RM8.18 bilion.

“Pelaburan ini melepasi sasaran awal RM5 bilion sekali gus menyaksikan Melaka melonjak sebagai destinasi pelaburan unggul dalam negara,” katanya.

Kerajaan negeri sedang mengorak langkah proaktif melalui pembangunan strategik seperti MCORP High Tech Park, German Technology Park dan ELKAY 2.0.

“Pembangunan ini bakal menjadi pemangkin industri berteknologi tinggi, seterusnya menyokong sasaran pelaburan RM10 bilion menjelang 2030,” tambahnya.

Pencapaian ekonomi negeri terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat 4.4 peratus kepada RM48.9 bilion pada 2024.

Pendapatan per kapita negeri juga meningkat kepada RM54,553 manakala kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 1.9 peratus pada suku pertama 2025.

“Kadar pengangguran ini jauh lebih rendah daripada kadar nasional iaitu 3.1 peratus,” jelas Ab Rauf.

Segala pencapaian ini terangkum dalam lebih 100 kejayaan yang telah dicapai sepanjang tempoh dua tahun di bawah kepimpinannya.

Hala tuju pembangunan negeri melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 turut mencatatkan kemajuan dengan mencapai 57 peratus daripada keseluruhan sasaran setakat Jun 2025.

Bagi sektor pelancongan, Melaka menerima lebih 15 juta pelancong dengan hasil mencecah RM12.68 bilion pada 2024.

Sehingga Julai tahun ini, negeri ini telah menerima 8.89 juta pelancong dengan hasil sebanyak RM4.48 bilion.

Kejayaan ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Melaka merangkul Tourism Industry Award 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association.

Negeri ini memenangi tiga kategori utama iaitu Best Melaka UNESCO Heritage Site Promotion, Best Iconic Tourist Attraction dan Best City Budget Hotel.

Program Melaka Bila Larut Malam terus mencatat sambutan memberangsangkan apabila berjaya menarik lebih 87,000 pengunjung pada tahun lepas.

“Setakat Ogos 2025 jumlah pengunjung telah melebihi 70,000 dengan perbelanjaan mencecah RM22.04 juta,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, Melaka melancarkan lebih 800 produk pelancongan merangkumi pelbagai segmen.

Sasaran negeri adalah untuk menarik 16.5 juta pelancong dan mencapai hasil pelancongan berjumlah RM17.97 bilion pada 2025.

Dengan persiapan yang telah mencapai 90 peratus, Melaka kini bersedia menerima kehadiran dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025.

Negeri ini juga bersedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan bermula pada 27 September ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *