Malaysia dan Thailand tingkat kerjasama banteras sindiket dadah di sempadan

TAIPING: Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan Thailand dalam memperhebat operasi membanteras aktiviti sindiket dadah, susulan harga dadah yang dilaporkan lebih murah di Sungai Golok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia termasuk kerjasama dalam perkongsian maklumat, operasi bersama dan pembinaan kapasiti.

“Laporan dari Thailand itu memang berada dalam pemakluman kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau menyatakan pihaknya telah memperketat penguatkuasaan kawalan di sempadan dengan menutup 212 pangkalan haram.

“Yang kedua kita tambah keanggotaan, kita bawa pasukan PGA (Pasukan Gerakan Am), kita tambah di kawasan itu,” tambah Saifuddin.

Langkah ketiga melibatkan penguatkuasaan Akta Imigresen terhadap lintas sempadan tanpa dokumen yang sah sebagai tindakan segera.

Terdahulu Bernama melaporkan harga dadah yang jauh lebih murah di Sungai Golok, menjadikan bandar sempadan itu sebagai tumpuan penagih, termasuk rakyat Malaysia terutamanya dari Kelantan.

Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata bandar itu kini turut menjadi lokasi utama penagih menyewa inap desa untuk melepaskan ketagihan.

Saifuddin Nasution berkata walaupun beberapa siri tangkapan dan rampasan berjaya dilakukan namun aktiviti penyeludupan dadah di sempadan bersifat dinamik.

“Kita ada beberapa success story. Ia dinamik,” ujarnya mengenai perubahan laluan penyeludupan.

Beliau memaklumkan aktiviti penyeludupan beralih ke Kedah setelah dikawal di kawasan Kelantan.

“Kita menyaksikan ada sedikit peningkatan tangkapan. Jadi dia macam itulah kita peketatkan sana, dia masuk ikut jalan lain,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan pasukan keselamatan terlibat akan sentiasa bersedia dan tidak ada sebarang kompromi terhadap aktiviti tidak bermoral tersebut.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang meneruskan risikan dan intipan terhadap beberapa pempengaruh di negeri Kelantan, yang berselindung di sebalik kehidupan mewah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *