Kontinjen Malaysia sertai WorldSkills ASEAN Manila 2025 bukti keupayaan TVET

KUALA LUMPUR: Penyertaan kontinjen Malaysia dalam WorldSkills ASEAN Manila 2025 membuktikan negara ini kaya dengan tenaga muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan peserta perlu menjadikan pertandingan itu sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan global.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh kontinjen yang terdiri daripada 37 anak muda untuk bertanding dalam 23 bidang kemahiran.

“Insya-Allah, saya yakin anda semua mampu mengulangi kejayaan gemilang yang pernah kita capai, bahkan melakar sejarah baharu buat tanah air tercinta,” katanya.

Ahmad Zahid turut menitipkan nasihat agar para peserta menjaga fokus, mendapatkan rehat yang mencukupi dan memperbanyakkan doa.

“Kami semua berdiri teguh di belakang kalian, berdoa agar kejayaan dan kecemerlangan sentiasa mengiringi perjuangan di sana,” katanya.

WorldSkills ASEAN Manila 2025 berlangsung di World Trade Center Metro Manila, Filipina dari 26 hingga 28 Ogos.

Acara ini menghimpunkan hampir 300 peserta dari seluruh rantau ASEAN untuk bersaing dalam 32 bidang kemahiran.

Bidang kemahiran tersebut termasuk teknologi, kejuruteraan, reka bentuk, automasi, hospitaliti dan pelbagai lagi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *