Kerajaan tidak kompromi keselamatan negara pantau ejen asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan negara berikutan pengesanan peningkatan aktiviti ejen asing di negara ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata pergerakan ejen-ejen tersebut sedang dipantau secara berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan sewajarnya akan diambil bagi menjamin keselamatan negara,“ katanya yang juga jurucakap Kerajaan MADANI.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail baru-baru ini mengesahkan peningkatan pergerakan ejen asing.

Peningkatan ini berikutan kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Tidak dinafikan sejak pendirian kerajaan dan Perdana Menteri yang begitu lantang dalam isu Gaza dan Palestin, beliau merupakan antara pemimpin di rantau Asia Tenggara yang paling dipantau oleh elemen-elemen berkenaan.”

Fahmi menegaskan aspek keselamatan tidak ada kompromi dan PDRM sentiasa melakukan pemantauan.

“Kami juga diberi taklimat dari semasa ke semasa termasuk melalui Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.”

Beliau berkata walaupun keadaan keselamatan masih terkawal, sebarang risiko ancaman tidak boleh dipandang ringan.

Pendirian Malaysia dalam isu Palestin ialah berasaskan prinsip kemanusiaan dan bukannya emosi semata-mata.

Fahmi menekankan pendirian Malaysia kekal konsisten sejak sekian lama iaitu menuntut peperangan dan kekejaman rejim Zionis di Gaza dihentikan.

Malaysia juga konsisten dalam mengiktiraf kebebasan negara Palestin.

“Cuma bezanya sekarang, Perdana Menteri kita berjaya mengubah pendirian beberapa pemimpin negara lain yang memberi kesan sangat positif.”

Beliau memberi contoh bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte yang telah mengubah pendirian mereka selepas bertemu Perdana Menteri.

“Kerajaan Jepun masih berpegang pada pendirian untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain bagi membangunkan semula Gaza.”

“Mereka benar-benar ingin mengadakan perbincangan segera mengenai perkara ini dan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pendirian.”

Mengenai VR Gaza Time Tunnel yang dibangunkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Fahmi berkata ia berjaya memberikan pengalaman mendalam kepada pengunjung.

Pameran ini memaparkan perjalanan di bumi Palestin termasuk konflik yang sedang berlaku di Gaza.

“Saya amat terkesan, kerana mereka bukan sahaja berjaya melakarkan geografi dan seni bina bangunan-bangunan, malah turut menampilkan insiden-insiden tertentu seperti serangan helikopter Apache.”

Pameran tersebut juga memaparkan serangan kereta kebal serta insiden terkini yang amat menyayat hati.

“Inilah sebabnya kita terus memberi sokongan padu dan menggesa agar Palestin merdeka tanpa syarat.”

“Ini merupakan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *