JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini menganjurkan majlis doa selamat serta solat hajat berikutan kejadian gempa bumi kecil yang melanda Segamat pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata arahan itu telah disampaikan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi menggerakkan inisiatif tersebut demi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat serta negeri.
“Berikutan gempa kecil di Segamat, saya telah mengarahkan JAINJ agar menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat di masjid serta surau di seluruh negeri,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah “Kita berdoa agar Allah memelihara keselamatan rakyat dan negeri ini.”
Beliau turut menyeru umat Islam di negeri ini agar bersama-sama memperbanyakkan doa serta memohon perlindungan daripada sebarang musibah dan bencana.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1.
MetMalaysia juga melaporkan gegaran lemah kedua pada 9 pagi di Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10km. – Bernama