GDPM Fest pastikan PMKS Sabah nikmati kemajuan teknologi kesihatan

KOTA KINABALU: Program Geran Digital PMKS MADANI Fest 2025 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor kesihatan di Sabah tidak ketinggalan daripada arus kemajuan teknologi.

Program GDPM bermatlamat memperkasakan penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan PMKS Sabah bagi membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inklusif.

“Pemilihan Sabah sebagai satu lokasi GDPM Fest 2025, destinasi terakhir selepas Johor dan Pahang didorong oleh potensi serta daya saing komuniti tempatan yang unik serta kedudukannya sebagai negeri pemangkin kesihatan masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Program GDPM Fest 2025 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.

Menurut MCMC, GDPM Fest 2025 adalah untuk membawa inisiatif kepada akar umbi melalui pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.

MCMC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services.

“MCMC yakin kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dapat membantu menyatukan peranan sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *