Anwar hadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka yang menandakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.

Anwar, yang tiba di sini pada 9.06 malam, diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Fahmi, Mohd Na’im dan Dr Zaliha juga adalah penaung Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lepas.

Antara tumpuan malam ini pastinya syarahan khas solidariti bertajuk ‘Malaysiaku Bersama Gaza’ oleh Perdana Menteri yang kemudian akan melepaskan delegasi Konvoi Sumud Nusantara untuk misi flotilla kemanusiaan ke Gaza.

Konvoi Sumud Nusantara 2025 menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

Selain itu, CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby akan membacakan Deklarasi Sumud Nusantara.

Program malam ini turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama serta bacaan Qunut Nazilah dan selawat yang disampaikan oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Karnival Sumud Nusantara 2025 dianjurkan bersama oleh MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia serta dinaungi Perdana Menteri, yang juga Penaung Sumud Nusantara.

Orang ramai mula hadir ke Dataran Merdeka dari awal pagi untuk sama-sama memeriahkan karnival itu yang diisi dengan pelbagai program menarik.

Mereka turut memakai pakaian putih sebagai simbol sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *