Transformasi digital dan AI perlu seimbang dengan nilai dan jati diri – Anwar

NILAI: Hasrat Malaysia untuk menjadi negara membangun terkedepan dalam transformasi digital perlu seiring dengan pemerkasaan nilai, jati diri, akhlak, keyakinan agama dan budaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemajuan teknologi kecerdasan buatan juga perlu seimbang dan tidak boleh menambah kesenjangan antara kaya dengan miskin.

Beliau menekankan teknologi AI bukan mudah, bukan murah dan mempunyai risikonya yang tersendiri.

“Kalau kita hanya ciplak, ambil saja apa yang dilontarkan oleh orang asing seperti Amerika, Eropah atau China, kita tidak akan dapat mempertahankan akidah, akhlak, nilai budaya kita,“ katanya.

Anwar menyeru agar anak-anak Malaysia dilatih untuk memahami digital dan AI serta mampu menghasilkan inisiatif yang sesuai dengan pemikiran tempatan.

“Kita boleh ambil dari semua negara, tetapi kita mesti pertahankan nilai dan budaya,“ tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Sembilan.

Program tersebut turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata transformasi digital juga diharap dapat meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat untuk mengelak daripada productivity paradox.

“Jangan kita belanja tinggi untuk AI dan digital, tetapi produktiviti tidak meningkat, khidmat kepada rakyat tidak bertambah,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut memuji langkah proaktif yang diambil oleh beberapa buah universiti termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menubuhkan Fakulti AI atau memperkenalkan kursus berkaitan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan kemunculan jurucara AI, iaitu Aini dan Ecah yang ditampilkan dalam montaj perasmian menarik perhatian pengunjung dan kelainan itu memberikan pengalaman baharu yang lebih segar dan interaktif selari dengan perkembangan teknologi semasa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *