Sukan SEA Pekak 2025: Malaysia sapu bersih 10 emas olahraga

JAKARTA: Kem olahraga negara menamatkan cabaran Sukan SEA Pekak 2025 dengan penuh bangga apabila menyapu bersih kesemua 10 pingat emas yang dipertandingkan selain turut merangkul lapan perak dan dua gangsa.

Kejayaan luar biasa itu bukan sekadar menobatkan Malaysia sebagai kuasa besar olahraga pekak Asia Tenggara, malah meniupkan rasa bangga seluruh rakyat apabila Jalur Gemilang terus megah berkibar di bumi Indonesia.

Ketua jurulatih pasukan Mohd Amiludin Mohd Amin menzahirkan rasa syukur selepas kem kebangsaan melepasi sasaran awal enam emas yang ditetapkan.

“Sebenarnya pasukan olahraga negara lain juga hebat, contohnya Indonesia, Filipina dan Laos. Mungkin mereka sendiri tidak menyangka yang atlet kita dapat mengatasi mereka terutamanya Indonesia sebab pelari mereka memang kuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua 10 pingat emas itu hadir menerusi Azlan Kuste (800 meter lelaki), Muhammad Shahrul Azmer Azman (400m lelaki), Muhammad Zamir Azman (100m lelaki), Nur Andrina Zainuddin (100m wanita) serta pasukan kuartet 4x100m lelaki, yang kesemuanya berlangsung semalam.

Sementara itu, pada aksi hari terakhir hari ini, tambahan lima emas disumbangkan oleh Azlan Kuste (1,500m lelaki), Muhammad Shahrul Azmer Azman (200m lelaki), Nur Andrina Zainuddin (200m wanita), kuartet 4x400m lelaki dan Zaiman Megat Abu (lompat jauh).

Mengulas prestasi keseluruhan atlet negara yang turut mencatat beberapa rekod temasya, Mohd Amiludin berkata masih terdapat ruang untuk diperbaiki walaupun rata-rata anak buahnya telah menunjukkan prestasi membanggakan.

Beliau berkata selepas ini terdapat satu lagi kejohanan di Perak sebelum Deaflympics Tokyo, November ini yang menuntut persiapan terbaik skuad negara.

“Saya bagi mereka rehat sekejap sebelum menyambung latihan untuk persediaan akhir ke Deaflympics. Sasaran di Deaflympics ialah untuk memperbaiki masa peribadi dan layak ke final bagi acara yang disertai,” katanya – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *