Pengunjung PMR 2025 teruja pegang senjata tentera sebenar

NILAI: Pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan khususnya kanak-kanak dan remaja tidak melepaskan peluang beraksi sebagai anggota tentera termasuk memegang senjata yang digunakan pasukan keselamatan itu.

Amirul Hakim Yusaini Amer, 21, berkata dia teruja dapat memegang mesingan buat kali pertama dan kagum dengan kecekapan petugas keselamatan negara mengendalikan senjata seberat lebih 10 kilogram (kg) dalam tugasan mereka.

“Saya memang minat menonton drama dan filem aksi… akhirnya saya berpeluang pegang senjata sebenar dan belajar tentang fungsi serta aspek keselamatan ketika mengendalikannya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dayang Anisah Syafiah Wasli, 24, pula menyifatkan penyertaan agensi kerajaan seperti Kementerian Pertahanan dalam program PMR itu sebagai inisiatif yang membolehkan pengunjung memahami aspek keselamatan negara dengan lebih baik.

“Saya biasa mengangkat barang berat tetapi tidak sangka senjata yang digunakan tentera lebih berat. Saya juga berminat dengan aksi dalam bidang ketenteraan dan selama ini bermain e-sukan PUBG… jadi, hari ini bila dapat pegang senjata sebenar memang teruja,” katanya.

Dalam pada itu, penembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Rashiden Rahman berkata objektif pameran juga bertujuan memberi pendedahan awal mengenai kerjaya dalam bidang ketenteraan.

Beliau berkata sejak hari pertama semalam, pengunjung tidak melepaskan peluang merasai pengalaman memegang dan bergambar dengan senjata yang dipamerkan di reruai pameran keselamatan.

“Kami membawa pelbagai senjata daripada yang berat hingga ke ringan… contohnya senjata MGKA seberat 11 kg tetapi ia belum lengkap sepenuhnya dan sebenarnya boleh mencecah 32 kg… sebagai pasukan ATM, kami dapat berkongsi pengalaman ketenteraan dengan orang ramai,” katanya.

PMR Negeri Sembilan berlangsung hingga esok dan menawarkan pelbagai aktiviti menarik bertemakan pendigitalan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Program bertemakan ‘Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti’ itu diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dan Kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *