KOTA BHARU: Penganjuran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) menjadi platform bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam memacu pembangunan sosio ekonomi komuniti serta membina kerjasama erat demi pembentukan negara yang inklusif dan sejahtera.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata objektif PKKB ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk bandar mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar melalui pendidikan dan program kesedaran, selain menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kitar semula, pengurangan penggunaan tenaga dan pengurangan sisa.
“Selain itu, PKKB juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar dengan memperkenalkan amalan hidup mampan yang boleh mengurangkan pencemaran dan meningkatkan kesihatan awam.
“Ia juga membolehkan pemimpin menyantuni penduduk bagi mewujudkan hubungan yang lebih akrab antara pemimpin dan komuniti setempat, di samping berusaha mewujudkan komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kemampanan Komuniti Bandar: Karnival Komuniti MADANI di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed.
Aiman Athirah berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik kepada semua rakyat di negara ini dengan melaksanakan program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di PPR terpilih seluruh negara sejak 2020.
“Saya dimaklumkan PPR Kota Bharu dirasmikan pada 20 April 2019 dengan kapasiti 1,000 unit rumah dan kini menjadi contoh komuniti yang aktif dan berdaya saing dalam usaha kelestarian.
“Sepanjang pelaksanaan program KOSIS di PPR ini dari 2020 hingga 2024, sebanyak 115,000 kilogram (kg) barangan kitar semula bernilai RM34,620 dan 16,400 kg minyak masak terpakai berjumlah RM41,000 berjaya dikumpul dan dijual,“ katanya.
Beliau berkata pada 26 Mac lepas, pusat KOSIS telah diserahkan kepada komuniti setempat sebagai langkah memberi kuasa dan tanggungjawab kepada penduduk untuk menguruskan sepenuhnya mengikut keperluan dan kehendak mereka.
Aiman Athirah berkata pengurusan tersebut akan disokong dengan pemantauan berkala oleh SWCorp bagi memastikan kelancaran operasi dan keberkesanan program yang dijalankan. – Bernama