DEBAR dilayangkan kad merah kerana didakwa melakukan ‘false start’ bagi acara 200 meter (m) wanita tidak menghalang atlet negara, Nur Andrina Zainuddin melakukan larian cemerlang sekali gus menghadiahkan pingat emas buat negara pada Sukan SEA Pekak 2025, hari ini.
Kejayaan manis yang dilakar di trek Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan itu datang selepas bantahan rasmi oleh delegasi Malaysia diterima pihak teknikal dan atlet berusia 20 tahun itu diberi peluang melakukan larian semula dengan catatan masa 27.63 saat (s).
Lebih mengagumkan catatan itu turut memecahkan rekod temasya milik rakan senegara, Alinda Anastasia (30.15s), seterusnya mengesahkan dominasi Malaysia dalam acara tersebut.
“Saya memang ikut lampu hijau, jadi bila dikatakan saya mula awal saya sangat beremosi.
“Alhamdulillah, selepas bantahan diterima dan diberi peluang sekali lagi, saya berjaya buktikan kemampuan dan raih emas,” kata Nur Andrina menerusi jurubahasa sambil menahan sebak sebaik menamatkan perlumbaan.
Pingat perak acara itu turut menjadi milik Malaysia menerusi Alinda Anastasia dengan catatan 28.83s manakala wakil tuan rumah, Selly Dwi Juniarti (29.12s) meraih gangsa.
Nur Andrina menutup kempen peribadinya di Jakarta dengan penuh bergaya apabila semalam turut meraih pingat emas acara 100m selepas merekodkan 13.06s.
“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada mak ayah, cikgu dan jurulatih saya. Mereka banyak beri semangat, tanpa mereka saya tak mampu sampai ke tahap ini. Mak ayah saya di Malaysia pun sampai menangis bila dapat tahu saya dapat emas,” katanya.
Insiden dramatik itu sekali gus menambah warna dalam perjuangan kontinjen Malaysia di Sukan SEA Pekak 2025, dengan sorakan penuh bangga bergema di trek Ragunan selepas lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan dengan penuh penghayatan dalam bahasa isyarat. – Bernama