MCMC siasat video fitnah Tabung Haji di media sosial

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan susulan laporan yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) berikutan penyebaran beberapa video berunsur fitnah serta hasutan di laman sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan MCMC telah mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000.

“Individu yang didapati menyebarkan fitnah terbabit kini sedang dikenal pasti untuk tindakan lanjut mengikut saluran undang-undang.

“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap sebaran palsu tersebut yang merupakan satu jenayah serius,” katanya kepada media selepas majlis peluncuran Kempen Denyut Nadi Merdeka anjuran Prasarana Malaysia Bhd sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad memaklumkan pihaknya telah membuat laporan kepada polis serta MCMC berhubung isu itu.

Beliau berkata hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu terutama berkaitan inisiatif penjenamaan serta tadbir urus TH boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

Mustakim berkata pelaksanaan pelan penjenamaan adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan orang Islam agar mereka dapat mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadat haji.

Sementara itu, Fahmi berkata orang ramai dinasihat supaya jangan mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam isu penjenamaan TH dan mengambil iktibar daripada kes Zara Qairina Mahathir.

“Ambil pengajaran daripada kes sebelum ini seperti kes arwah Zara Qairina yang difitnah kononnya dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh seorang guru. Guru itu telah ditahan dan didakwa di mahkamah.

“Terdapat juga individu yang menyamar sebagai pakar patologi dan menyebarkan dakwaan tidak berasas hingga mencetuskan fitnah besar di media sosial,” katanya.

Fahmi berkata individu itu telah direman dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata festival makanan yang dianjurkan sempena Himpunan Gaza di Dataran Merdeka, yang bermula semalam hingga esok, bertujuan mengumpul dana kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.

Fahmi berkata program itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mendapat kebenaran Kementerian Luar (Wisma Putra) untuk menjalankan aktiviti pengumpulan dana.

“Saya dimaklumkan MAPIM menguruskan festival makanan itu dan hasil jualan akan disalurkan terus kepada rakyat Gaza,” katanya ketika ditanya mengenai keresahan segelintir pihak berkaitan penganjuran festival makanan berkenaan tatkala Gaza sedang dilanda kebuluran- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *