Kerajaan Sabah mahu bangunkan Pulau Banggi dalam pelbagai sektor

PULAU BANGGI: Kerajaan Sabah berhasrat membangunkan Pulau Banggi dalam pelbagai sektor terutamanya pelancongan dan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kerajaan negeri merancang untuk merapatkan hubungan dengan negara jiran melalui perdagangan barter di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Kalau ada perdagangan barter dengan negara jiran yang tidak jauh dari sini, ia boleh merancakkan lagi aktiviti ekonomi kita.”

Beliau menekankan bahawa “potensi Pulau Banggi ini sangat tinggi, inilah pulau istimewa di Sabah.”

Hajiji berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Projek Skim Penambahan Bekalan Air Pulau Banggi bernilai hampir 62 juta ringgit.

Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permintaan untuk menaik taraf status daerah kecil Banggi kepada daerah penuh.

Hajiji turut meluluskan pembinaan sebuah dewan dengan peruntukan 6 juta ringgit serta dewan kebudayaan masyarakat Bonggi bernilai 1 juta ringgit.

Beliau menegaskan bahawa keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 membuktikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berfungsi dengan baik.

“Melalui tiga sektor iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian, kerajaan GRS berjaya memulihkan ekonomi negeri hingga merekodkan hasil hampir 7 bilion ringgit berbanding 4 bilion ringgit beberapa tahun sebelumnya.”

Kerajaan pimpinannya berusaha melakukan yang terbaik sejak lima tahun lalu dengan merancang langkah pemulihan ekonomi secara berkesan.

“Walaupun tahun pertama kita dilanda COVID-19, kita tetap memperkenalkan hala tuju pembangunan ekonomi Sabah untuk jangka panjang serta merancang dengan teliti apa yang terbaik untuk negeri ini.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *