KUALA SELANGOR: Satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung pengharaman rokok elektronik atau vape akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan telah membentang laporan cadangan awal jawatankuasa kepakaran dalam mesyuarat Kabinet semalam.
“Pembentangan itu saya buat ringkas. Perdana Menteri dan Kabinet mahukan saya menghantar satu Memorandum Jemaah Menteri ke arah pengharaman vape,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa “ia bukannya kalau tetapi kita memang akan haramkan” sambil menambah beliau bertanggungjawab melunaskan arahan tersebut.
Dzulkefly berkata persoalan utama adalah mengenai cara, masa serta pendekatan yang akan digunakan untuk melaksanakan pengharaman tersebut.
Beliau menyampaikan kenyataan ini kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Selangor.
Majlis penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor 2.0 2025 turut diadakan di Kompleks Stadium Tertutup Kuala Selangor.
Dzulkefly sebelum ini menyatakan laporan terperinci berhubung cadangan pengharaman vape sedang dilengkapkan oleh jawatankuasa kepakaran kementeriannya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Selangor dijangka mempunyai empat Wellness Hub dengan penambahan pusat baharu di Kuala Selangor.
Pusat baharu tersebut kini dalam proses rangka pembinaan menurut kenyataan beliau.
Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 81 Wellness Hub di seluruh negara menjelang 2033.
“Reformasi sistem kesihatan kini menjadi tumpuan utama negara di bawah RMK13, dengan peralihan daripada model sick-care kepada health-care,” katanya.
Tumpuan ini menekankan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan primer, dan pembudayaan hidup sihat sebagai teras sistem kesihatan yang mampan.
Melalui pendekatan ini, kerajaan berhasrat memastikan rakyat bukan sahaja dirawat apabila sakit tetapi dibimbing dan didorong untuk mengekalkan kesihatan yang baik sepanjang hayat. – Bernama