KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi realiti maya (VR) membolehkan pengunjung Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka di sini, memahami dengan lebih mendalam kesengsaraan, kesedihan dan kemusnahan dialami rakyat Gaza.
Tinjauan Bernama mendapati pengunjung pameran interaktif 3D Gaza Time Tunnel yang menggunakan teknologi VR itu ada yang menitiskan air mata, selepas memperoleh pengalaman umpama berada di Gaza.
Zuhaine Zulkarnain, 48, berkata pengalaman itu membolehkan beliau lebih memahami penderitaan dialami rakyat Palestin yang disifatkan beliau sebagai amat menyedihkan.
“Saya harap lebih ramai datang dan alami sendiri supaya dapat belajar sejarah Gaza yang diceritakan dari awal.”
Khemah khas pameran itu juga dilihat sentiasa menerima pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk pelancong asing yang berhasrat memahami dengan lebih baik sejarah Gaza.
Seorang lagi pengunjung Cheong Wing Kit, 27, yang datang seorang diri dari Petaling Jaya, Selangor berkata pameran tersebut memberi pemahaman lebih jelas mengenai konflik antara Israel dan Palestin.
“Ketika berinteraksi dalam VR ini, saya nampak kanak-kanak cedera, ada juga kebakaran dan banyak bangunan musnah.”
Mohd Rafif Paisel, 12, dari Hulu Langat, Selangor berkata dia menghadiri karnival itu bersama bapa dan abangnya sebagai sokongan dan solidariti terhadap Gaza.
Selain peranti VR, khemah itu turut mempamerkan artifak asal daripada Gaza seperti mata wang, manuskrip lama dan koleksi khas yang dibawa masuk ke Malaysia.
Karnival tiga hari bermula semalam, merupakan anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penaung Sumud Nusantara.
Ia disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Acara kemuncak karnival ialah Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza.
Karnival berkenaan turut menyediakan ruang “Freedom” iaitu tapak jualan produk buatan masyarakat Gaza bagi mengumpul dana untuk disalurkan kembali kepada rakyat di sana.
Pelbagai aktiviti keluarga turut diadakan termasuk pertandingan mewarna, program kesukanan dan persembahan seni di pentas utama yang berlangsung dari 10 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang karnival.
Kemuncak program esok, bakal menyaksikan pelancaran Deklarasi Sumud Nusantara serta ucapan khas oleh Perdana Menteri sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap Palestin. – Bernama