Jualan Agro MADANI Perlis catat jualan RM1.7 juta, jimat RM550,000

KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis merekodkan jualan bernilai RM1.7 juta menerusi 118 penganjuran Jualan Agro MADANI melibatkan 250 usahawan, dengan penjimatan kos sara hidup pengguna dianggarkan sebanyak RM550,000 setakat ini.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata program itu dilaksanakan di 30 outlet pemasaran FAMA di seluruh negeri, termasuk Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS).

“Penganjuran ini bukan sahaja memperluaskan akses rakyat terhadap produk segar pada harga berpatutan, malah memberi peluang kepada usahawan tani untuk terus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Agro MADANI Semarak Kemerdekaan di Pasar Tani Dataran ABC MAIPs di sini, hari ini.

Sebanyak 150 pek Jualan Khas Kombo MADANI Merdeka mengandungi sekilogram gula, telur ayam dan minyak masak peket pada harga RM6 habis terjual dalam tempoh setengah jam selepas program itu dilancarkan.

Mengulas lanjut mengenai program sempena sambutan bulan Kebangsaan itu, Mohd Anzara berkata ia berlangsung mulai hari ini hingga 31 Ogos di lokasi terpilih di seluruh Perlis.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan usahawan FAMA dan masyarakat, selain menyediakan pilihan barangan keperluan asas pada harga mampu milik,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *