Tabung Haji buat laporan polis dan MCMC berikutan video hasutan

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji telah membuat laporan rasmi kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berikutan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial.

TH menyatakan pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang memantau rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial sama ada video atau pautan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar.

“TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang,“ menurut kenyataan rasmi TH.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad menegaskan hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada organisasi itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

Beliau menjelaskan TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam di negara ini menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.

“Namun kebelakangan ini, ia lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang,“ katanya.

Mustakim menekankan bahawa pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim.

“TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik,“ jelasnya.

TH menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang dikongsikan yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.

“Inisiatif penjenamaan ini adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji,“ tambah Mustakim. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *