JAKARTA: Trek 100 meter (m) Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan menjadi saksi detik luar biasa apabila tiga atlet olahraga negara termasuk pasangan kembar sapu bersih podium acara itu pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini hari ini.
Muhammad Zamir Azman merangkul pingat emas selepas menamatkan larian dengan catatan 11.06 saat meninggalkan rakan senegara, Hazrul Shah Hamri (11.09s) dengan pingat perak dan kembarnya, Muhammad Zumar Azman (11.22s) meraih pingat gangsa.
Lebih manis, Muhammad Zamir turut memperbaharui rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang juga oleh atlet negara, Nur Shahdan Muhamad dengan catatan 11.12s pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.
Acara 100m sentiasa menjadi tumpuan dalam mana-mana kejohanan olahraga kerana dianggap sebagai acara ‘raja trek’, menjadikan kemenangan itu begitu bermakna buat kontinjen negara menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.
“Saya sampai buat sujud syukur sebab sangat gembira menang pingat emas. Terima kasih tidak terhingga kepada keluarga dan semua pihak terlibat atas segala sokongan diberikan.
“Saya mula aktif berlari sejak usia 18 tahun tapi ini merupakan pingat emas pertama saya dalam karier. Ibu dan ayah memang sentiasa mendoakan, akhirnya hari ini sampai juga momen kemenangan itu untuk saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata mereka bertiga yang mula berlatih bersama sejak tujuh bulan lepas, kini menyasarkan penampilan di Deaflympics Tokyo 2025, pada November ini dalam acara sama.
Sementara itu, dalam acara 100m wanita, Nur Andrina Zainuddin memastikan Malaysia terus gah apabila turut muncul juara dengan catatan 13.06s menewaskan rakan senegara Steffy Stacy Lakim (13.63s) dan atlet tuan rumah Selly Dwi Juniarti (13.88s).
“Terima kasih banyak kepada ibu dan ayah saya atas segala sokongan diberikan. Selain Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia yang sentiasa memberi sokongan.
“Malam tadi saya memang tidak boleh tidur memikirkan mampu atau tidak melakukannya namun pagi ini perasaan takut itu terus hilang, sebaliknya perasaan mahukan emas begitu berkobar. Alhamdullilah semua berjalan lancar,” katanya.
Nur Andrina berkata fokusnya selepas ini untuk memburu emas kedua peribadi pada acara 200m, esok – BERNAMA