KUALA KANGSAR: Seorang maut manakala tiga cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah bas penumpang dan kereta di Kampung Jamuan, Kuala Kangsar, malam ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chuah Wei Chong, 35, yang memandu kereta jenis Proton Saga, manakala tiga penumpang bas cedera ringan.
Mangsa yang cedera ialah V. Kalai Vani, 47, Yee Kar Choon, 48, dan Jahaya Mahabot, 70.
Beliau bekata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.08 malam dan mengarahkan sembilan anggota serta dua jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian didapati terdapat seorang mangsa tersepit dalam Proton Saga, manakala pihak Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiga penumpang bas cedera ringan dan telah dibawa ke hospital berhampiran.
“Anggota bomba melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan telescopic bagi membuat renggangan dan pemotong hidraulik bagi memotong bahagian kereta untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan KKM dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama