RM100,000 diperuntuk untuk selenggara kemudahan SMK Jalan Reko

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak 100,000 ringgit bagi menyelenggara kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko di Kajang.

Sekolah ini menempatkan lebih 1,700 pelajar termasuk Program Pendidikan Khas Integrasi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penyelenggaraan itu bagi memastikan keselesaan murid dan warga pendidik sekolah terbabit.

“Tiada apa yang lebih penting selain memastikan kualiti pendidikan di semua sekolah dapat terus ditingkatkan demi manfaat semua,” katanya menerusi hantaran Facebook malam ini.

Beliau berkata pada pertemuan bersama guru sekolah itu, antara perkara diberi penekanan ialah usaha meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah.

Isu disiplin serta memperkukuh pencapaian akademik turut menjadi fokus perbincangan.

“Begitulah keluarga besar KPM ini. Semuanya penting. Semua aspek perlu diberikan perhatian. Guru, pentadbir, apatah lagi anak-anak,” katanya.

Semasa lawatan ke sekolah berkenaan, Fadhlina turut meninjau keadaan di bilik darjah, bilik PPKI, surau, kantin, tandas, padang permainan dan kemudahan lain. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *