Produk permainan digital Malaysia raih tumpuan di Ekspo 2025 Osaka

OSAKA: Produk permainan digital karya syarikat tempatan seperti Upin dan Ipin Universe keluaran Les’ Copaque, GigaBash oleh Passion Republic Games dan No Straight Roads terbitan Metronomik mendapat sambutan hangat pengunjung sempena Minggu Kementerian Digital di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

Bertemakan “Weaving a Future in Harmony”, Minggu Kementerian Digital yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dirasmikan secara maya oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo pada 11 Ogos lepas.

Acara tersebut menjadi platform utama mempamerkan keupayaan dan potensi negara dalam bidang kreatif digital merangkumi sektor animasi, permainan digital, teknologi imersif serta pembangunan kandungan asli berasaskan harta intelek (IP) tempatan.

Program lima hari yang berakhir pada 15 Ogos lalu menyaksikan syarikat kreatif digital tempatan menyertai pameran dan pelbagai aktiviti interaktif bagi menonjolkan karya inovatif serta imersif.

“Siri Business Pocket Talk dan Fireside Chat telah diadakan pada 13 Ogos, menampilkan suara-suara hebat termasuk wakil MDEC, Metronomik, OMG Studios, Kezerk dan ramai lagi,“ menurut kenyataan itu.

Sesi tersebut menjadi wadah perbincangan mengenai peluang pelaburan di Malaysia, penghasilan kandungan berasaskan budaya, transformasi pendidikan melalui teknologi, inovasi kandungan dengan Generative AI (kecerdasan buatan) dan produksi maya serta strategi pembangunan studio permainan digital Asia Tenggara.

Sesi padanan perniagaan juga dianjurkan pada 12 Ogos dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mempertemukan 14 syarikat tempatan bersama rakan industri antarabangsa.

“Sesi padanan perniagaan ini menjadi platform penting dalam usaha memperluas rangkaian perniagaan dan pelaburan antara Malaysia, Jepun dan pelbagai negara lain dengan potensi pelaburan dianggarkan mencecah RM134 juta,“ menurut Kementerian Digital.

Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ke Pavilion Malaysia adalah kemunculan karakter animasi popular Upin dan Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali, selain tayangan siri animasi tempatan serta aktiviti khas mewarna khas untuk kanak-kanak.

“Minggu Kementerian Digital yang berlangsung pada minggu ke-18 penganjuran Ekspo 2025 Osaka ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya,“ menurut kenyataan berkenaan.

Majlis perasmian turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unbound dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *