Polis sahkan serah surat panggilan saksi ke rumah penyanyi rap

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia mengesahkan beberapa pegawainya telah pergi ke kediaman seorang penyanyi rap untuk menyerahkan surat panggilan saksi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah susulan laporan ke atasnya oleh seorang lelaki berusia 33 tahun pada 31 Julai lepas.

“Hantaran yang diterima pengadu berunsur serangan dalam komen, mesej kebencian, tuduhan dan kecaman yang memfitnah watak serta reputasi pengadu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Penyanyi berkenaan dalam sebuah video tular berdurasi tiga minit sembilan saat yang dimuat naik di Instagramnya, memaparkan beberapa pegawai polis datang ke kediamannya.

Video tersebut juga menunjukkan cubaannya menghubungi polis bagi meminta maklumat berhubung tujuan kedatangan mereka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *