PM Anwar antara 20 pemimpin dunia hadir sidang kemuncak SCO dI Tianjin

BEIJING: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai lebih 20 pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 yang kelima di Tianjin, China, dari 31 Ogos hingga 1 Sept.

Pembantu Menteri Luar China Liu Bin, berkata Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga dijangka hadir.

Beliau berkata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, bersama sembilan pemimpin organisasi antarabangsa lain, akan turut serta dalam sidang kemuncak itu.

“Presiden Xi Jinping akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ketua-Ketua Negara SCO Ke-25 dan Mesyuarat SCO Plus, yang beliau dijadual menyampaikan ucaptama,” kata Liu kepada pemberita semasa taklimat di Kementerian Luar China pada Jumaat.

Taklimat itu turut dihadiri wartawan asing di bawah Program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) 2025, termasuk wakil Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Liu berkata sidang kemuncak yang akan datang menandakan detik penting bagi diplomasi China dalam memupuk pertukaran dan mengukuhkan multilateralisme.

“Sidang Kemuncak Tianjin akan membawa SCO ke fasa baharu, menggalakkan perpaduan, pembangunan, kemanusiaan, kemakmuran dan kemajuan yang lebih besar,” tambahnya.

Semakan dengan sumber dari Kedutaan Malaysia di Beijing berkata Malaysia akan terlibat dalam Mesyuarat SCO Plus semasa sidang kemuncak itu.

SCO diumumkan pada 2001 di Shanghai oleh enam negara pengasas – China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Negara anggota kini berkembang kepada 10 selepas Pakistan, India, Iran dan Belarus menyertai pertubuhan itu, manakala Mongolia dan Afghanistan diberi status pemerhati.

Antara 13 rakan dialog SCO ialah Sri Lanka, Turkiye, Mesir, Arab Saudi dan Maldives- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *