Permohonan Na’imah jadi pencelah dalam kes aset Jersey didengar 31 Okt

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 31 Oktober bagi mendengar dan memutuskan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM memfailkan permohonan ex-parte untuk menghalang balu Tun Daim Zainuddin atau mana-mana pihak berkaitan daripadanya menguruskan aset luar pesisir berjumlah 157.5 juta dolar AS (kira-kira 667 juta ringgit) dan 85 juta paun (kira-kira 4.9 bilion ringgit) yang terletak di Jersey.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah memfailkan afidavit balasan pada 30 Julai lepas.

“Kami juga telah menerima afidavit jawapan daripada pemohon (Na’imah) dan kami juga tiada halangan untuk mendengar permohonan pemohon,“ kata Mahadi.

Pada 25 Jun lepas, SPRM memfailkan permohonan ex-parte itu mendakwa aset berkenaan diperoleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengan beliau di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

Ini merupakan permohonan ketiga difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.

Azam berkata maklumat terkini menunjukkan aset terbabit tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *