Pengarah syarikat didakwa tipu pembekalan 10 kontena minyak masak

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu berhubung dengan pembekalan 10 kontena minyak masak Palm Olein CP10 bernilai 315,675 dolar Amerika tahun lepas.

Nuruliman Haidi Che Mansor, 44, didakwa telah memperdayakan syarikat Global Foods and Confectionaries KFZE (Nigeria) melalui wakilnya Abdulrahman Muhammad Garba dan Sani Abdullahi Maikano supaya mempercayai bahawa syarikatnya, Tuan Iman Consultancy Sdn Bhd, mempunyai keupayaan serta lesen sah untuk membekalkan 10 kontena Palm Olein CP10 berkenaan.

Perbuatan itu telah mendorong kedua-dua individu terbabit menyerahkan 94,700 dolar Amerika (414,810.62 ringgit) ke dalam syarikat milik tertuduh dengan mereka tidak akan melakukan perkara terbabit sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 29 November 2024 di sebuah kondominium, di Jalan Sultan Ismail, dekat sini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin menawarkan jaminan 50,000 ringgit dengan dua penjamin, namun peguam Fozi Addhwa Mohamad Fozi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Hakim Azrul Darus membenarkan Nuruliman diikat jamin 30,000 ringgit dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *