Muhammad Zamir juara 100m SEA Pekak 2025, catat rekod 11.06 saat

JAKARTA: Kejayaan pelari pecut negara Muhammad Zamir Azman menjuarai acara 100 meter lelaki di Sukan Asia Tenggara Pekak 2025 merupakan satu pencapaian yang membanggakan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Muhammad Zamir dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua.

Beliau berkata kejayaan tersebut dapat membina masa depan sukan negara yang lebih inklusif, progresif dan gemilang.

“Tahniah Zamir Azman! Kejayaan menjuarai acara 100 meter Sukan SEA Pekak 2025 dan memecah rekod temasya dengan catatan 11.06 saat adalah satu pencapaian yang membanggakan negara,“ kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Trek Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar Ragunan di Jakarta Selatan menjadi saksi detik luar biasa apabila tiga atlet olahraga negara termasuk pasangan kembar sapu bersih podium acara 100m.

Muhammad Zamir merangkul pingat emas selepas menamatkan larian dengan catatan 11.06 saat.

Hazrul Shah Hamri meraih pingat perak dengan catatan 11.09 saat manakala Muhammad Zumar Azman mendapat pingat gangsa dengan catatan 11.22 saat.

Muhammad Zamir turut memperbaharui rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang oleh atlet negara Nur Shahdan Muhamad.

Rekod sebelumnya ialah 11.12 saat yang dicatatkan pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *