MITI kemas kini insentif pelaburan untuk sektor pembuatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sedang mengemas kini rangka kerja insentif pelaburannya bagi sektor pembuatan untuk memastikan ia sejajar dengan hasil yang disasarkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industi Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz berkata hasil ini termasuk meningkatkan kekompleksan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh hubungan domestik.

Beliau berkata kementeriannya juga telah menetapkan petunjuk prestasi utama untuk setiap hasil.

“Dan saya pasti sesetengah daripada anda sudah dapat menentukan cara bagaimana anda akan menasihati pelanggan anda tentang cara terbaik untuk memenuhi KPI tersebut agar mereka layak mendapat insentif pelaburan yang lebih baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan ke-67 Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata misi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu, termasuklah meningkatkan kekompleksan ekonomi, memajukan agenda bersih-sifar, menerap pendigitalan dan memastikan keterangkuman dan jaminan ekonomi.

Semua ini memerlukan kepakaran profesional kewangan yang boleh mengukur impak, menilai risiko dan memastikan akauntabiliti dalam memacu Malaysia ke arah ekonomi yang maju, mampan dan inklusif.

Mengenai Strategi Pelaburan Hijau, Tengku Zafrul berkata sejak dilancarkan pada 2024, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia telah mengenal pasti pelaburan yang diluluskan dengan sewajarnya.

“Ini bagi memastikan kita dapat membina kapasiti dalam sektor yang disasarkan seperti tenaga boleh baharu, mobiliti hijau, hidrogen hijau dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

“Ini adalah sektor ‘lautan biru’ yang diberi insentif oleh MITI. Oleh itu, saya menggalakkan anda membina kepakaran nasihat anda dalam bidang ini,“ katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata ketika Malaysia berdepan dengan order dagangan baharu dunia, akauntan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pasaran.

Beliau berkata sama ada melalui pelaburan yang disalurkan terus ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan negara atau melalui pasaran modal, profesion perakaunan membantu menyampaikan pelbagai hasil bagi dasar ekonomi.

“Pada hari ini, pelabur ingin mengetahui bukan sahaja tentang keuntungan, tetapi juga tentang faktor mesra alam dan manusia yang membina daya tahan jangka panjang dan rantaian bekalan yang mampan.

“Akauntan adalah tulang belakang kepada amanah ini. Ini penting untuk membantu Malaysia menarik dan mengekalkan lebih banyak pelaburan di negara ini,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *