BANGKOK: Mahkamah Jenayah Bangkok membebaskan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra daripada tuduhan menghina institusi diraja pada Jumaat.
Keputusan ini dibuat setelah pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan tersebut.
“Mahkamah merumuskan bahawa bukti pendakwaan tidak membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa kenyataan defendan bertujuan merujuk atau menghina institusi diraja,” menurut penghakiman bertulis.
Tuduhan tersebut melibatkan Seksyen 112 Kanun Keseksaan (lese majeste) dan Akta Jenayah Komputer berikutan temu bual beliau dengan media Korea Selatan pada 2015.
Peguam Thaksin, Winyat Chartmontri, menjelaskan bahawa mahkamah mendapati rakaman video yang dikemukakan hanya mengandungi petikan temu bual dan bukan rakaman penuh.
“Memandangkan pendakwaan gagal membuktikan sama ada rakaman itu telah disunting, dan kenyataan defendan tidak merujuk secara khusus kepada Raja, mahkamah memberi manfaat keraguan kepada defendan dan membebaskannya,” katanya.
Pasukan peguam Thaksin kini merancang untuk memohon Mahkamah Jenarah menarik balik larangan perjalanan yang menghalang beliau daripada meninggalkan Thailand.
Thaksin kembali ke negara asalnya pada 2023 setelah 15 tahun berada di luar negara untuk menjalani hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan salah guna kuasa.
Hukuman beliau kemudian dikurangkan kepada setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn sebelum diberikan parol awal pada 2024.
Mahkamah Agung dijadual memutuskan pada September ini sama ada tempoh rawatan hospital Thaksin dikira sebagai sebahagian daripada hukuman penjara. – Bernama