Dua beradik lemas di kolam tadahan Ipoh, polis siasat bawah Akta Kanak-Kanak

IPOH: Dua beradik lelaki ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 8.33 malam.

“Kedua-dua mangsa yang berusia lapan dan sembilan tahun dipercayai keluar bermain berhampiran kawasan tapak pembinaan bersebelahan rumah mereka sebelum ditemukan di dalam kolam tadahan itu oleh orang awam.

“Mereka dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada 9.39 malam hari sama,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan tapak pembinaan berkenaan tidak berpagar dan tiada papan tanda amaran dipamerkan.

Abang Zainal Abidin berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HRPB mengesahkan punca kematian mereka akibat lemas.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp P. Munesuwari melalui talian 016-5921325 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Abang Zainal Abidin menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan anak-anak terutama di kawasan berisiko seperti sungai, kolam, lombong atau tapak pembinaan.

“Pihak pemaju atau kontraktor juga diingatkan agar mematuhi peraturan keselamatan termasuk pemasangan pagar dan papan tanda amaran bagi mengelak kejadian tidak diingini,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *