Balai Bomba Gohtong Jaya dijangka siap 2027 melalui kerjasama awam-swasta

PUTRAJAYA: Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di Genting Highlands, Pahang yang akan dibina melalui kerjasama strategik awam-swasta dijangka siap pada 2027.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata Genting Malaysia Bhd (GenM) telah melaksanakan proses tertentu bagi menjayakan pembinaan balai bomba itu antaranya aspek pelantikan kontraktor.

“Pihak GenM memohon supaya tempoh pembinaan itu dilanjutkan berikutan pembangunan di kawasan Genting Highlands yang teknikal dan agak sangat rumit.”

“Untuk pembangunan ini kita beri laluan khas kepada GenM, mereka mohon untuk adakan (pembangunan) selama 24 bulan.”

“Insya-Allah, jadi akan siap lagi dua tahun dari sekarang,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penyerahan dua unit Fire Rescue Tender (FRT) oleh MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd di sini hari ini.

Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya yang akan dibina di tanah seluas 0.8 hektar di sini bakal menjadi balai bomba pertama dibina melalui kerjasama strategik awam-swasta.

Projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang diluluskan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan dibina dengan sebahagian kos ditanggung oleh GenM.

Pembinaan balai bomba berkenaan dianggarkan menelan kos RM68.3 juta dengan kerajaan memperuntukkan RM39 juta dan baki dibiayai oleh GenM sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Nor Hisham berkata JBPM akan memohon supaya syarikat swasta yang terlibat dalam CSR diberikan pengecualian cukai sebagai timbal balik kepada sumbangan yang diberikan.

“(Sebagai contoh GenM) kita telah juga memohon beberapa pakej untuk pengecualian cukai bagi menggalakkan syarikat swasta lain melihat kaedah ini untuk membantu secara bersama,“ katanya.

Mengenai dua FRT yang diterima JBPM, Nor Hisham berkata aset bernilai RM1.73 juta itu bakal ditempatkan di laluan transit aliran massa (MRT) bagi meningkatkan keberkesanan operasi JBPM.

“Jentera ini boleh saya katakan ia boleh terus digunakan, memang bagus dan perbatuannya pun sangat rendah,“ katanya menambah spesifikasi jentera adalah sama seperti digunakan JBPM. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *