225 veteran ATM terima geran keusahawanan lebih RM1 juta di Tawau

TAWAU: Seramai 225 veteran Angkatan Tentera Malaysia telah menerima manfaat daripada geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar berjumlah RM1.13 juta sejak tahun 2023.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menyatakan mereka merupakan sebahagian daripada 1,975 veteran ATM yang mengikuti Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di seluruh negara.

“Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT merencana pelbagai pengisian bagi program pemerkasaan usahawan veteran ATM ini, bagi memastikan sosioekonomi veteran ini dibantu ditingkatkan untuk masa depan.”

“Program ini berperanan sebagai pemudah cara untuk menghubung, memadan dan menyalurkan insentif keusahawanan seperti khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan usahawan veteran untuk memajukan perniagaan mereka.”

Beliau menyampaikan ucapan tersebut ketika merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM Sabah serta menyerahkan geran SPKLB kepada sembilan usahawan veteran ATM.

Adly turut menasihati veteran ATM agar memanfaatkan pelbagai skim keusahawanan lain yang disediakan kerajaan termasuk geran daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

Beliau menyarankan veteran ATM meneroka industri yang memiliki pertumbuhan tinggi seperti peralihan tenaga, teknologi digital, elektrik dan elektronik serta pertanian moden.

“Saya yakin kelompok usahawan veteran ATM juga mampu menjadi penyumbang kepada usaha Rancangan Malaysia ke-13 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara besar pengguna yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan.”

Penerima geran SPKLB Mohd Ali Osman berusia 51 tahun mengusahakan empat jenis produk sambal Menaq termasuk sambal ikan masin, udang kering, kicap pedas serta sambal tuhau pedas.

“Saya bermula dengan sambal ikan masin Menaq pada tahun 2016 selepas bersara daripada ATM, kini pasaran produk saya sehingga ke Brunei Darussalam dan dipromosikan melalui Tiktok.”

“Dari segi permintaan, sebulan dianggarkan lebih 400 botol dikeluarkan, kita juga menjual produk ini secara pakej 50 gram serta 80 gram.”

Beliau menambah produk tersebut telah diiktiraf dengan pensijilan halal pada tahun 2024. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *