KUANTAN: Türkiye bersama tiga negara ASEAN iaitu Laos, Indonesia dan Singapura akan menyertai Temasya Warisan Pahang 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 7 Sept ini di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan.
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang hari ini, penyertaan negara-negara berkenaan merupakan tanda sokongan membanggakan terhadap usaha Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam memartabatkan seni kraf warisan negara di peringkat antarabangsa.
“Temasya Warisan Pahang 2025 yang julung kali diadakan itu akan menampilkan bengkel-bengkel kraf dan masakan warisan yang bukan sahaja dari Pahang tetapi dari seluruh negara termasuk Sarawak” menurut kenyataan itu.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program tersebut pada 8.30 malam, 31 Ogos ini di Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultanah Terengganu Sultanah Nurzahirah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Pada malam itu juga, akan berlangsung Majlis Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah, Majlis Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah Pertandingan Tenun Pahang Diraja serta pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi tersohor negara Datuk M. Nasir.
Sepanjang tujuh hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya bengkel kraf batik blok, lukisan, tanah liat, linut, eco-print, ikat dan celup, ukiran kayu, seni jahitan kreatif, anyaman mengkuang, anyaman rotan, seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, tenunan benang sutera dari Laos, sulaman, pewarnaan alam, serat nanas dan kenaf.
Menurut kenyataan itu, Tengku Ampuan Pahang akan mengadakan demonstrasi masakan tradisional Pahang citarasa bangsawan dan menganjurkan pertandingan masakan dalam kalangan pelajar sekolah.
Temasya Warisan Pahang juga menampilkan pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, pameran tiffin, pameran lukisan serta pameran seni kraf Orang Kita antaranya melibatkan ukiran patung suku kaum Jahut, anyaman selempang suku kaum Semelai serta pembuatan tikar dan bakul rotan.
“Selain itu, Temasya Warisan Pahang akan mempersembahkan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara dan persembahan budaya Sarawak. Terdapat juga reruai maklumat daripada institusi perbankan serta ruang vendor makanan dan minuman bagi memberi pilihan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Majlis Penutup Temasya Warisan Pahang 2025 dijadual berlangsung pada 7 Sept ini di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan pada 8 malam – BERNAMA