PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencadangkan prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata cadangan ini dibuat ekoran segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah.
“Antara cadangan adalah untuk membenarkan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding secara telus,“ katanya pada sesi khas bersama media.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan siaran langsung akan menunjukkan ketelusan kerajaan dan membolehkan orang ramai menilai sendiri perjalanan kes tersebut.
SPRM turut mencadangkan supaya lokap agensi penguat kuasa di seluruh negara dipasang dengan kamera litar tertutup yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan.
Azam menjelaskan bahawa cadangan ini bagi meningkatkan ketelusan dan menangani isu salah laku di lokap-lokap agensi penguat kuasa.
“Wujud aduan mengenai isu rasuah, ketidakpatuhan serta kelemahan dalam pemantauan di lokap-lokap agensi penguat kuasa yang masih menggunakan CCTV lama,“ katanya.
Beliau menekankan kepentingan CCTV untuk memastikan akauntabiliti dalam sistem penguatkuasaan undang-undang.
“CCTV yang ada sekarang banyak yang telah ketinggalan zaman dan berbentuk stand-alone dan tidak disambungkan ke pusat kawalan,“ tambahnya.
Azam menyeru pemasangan CCTV canggih yang lengkap dengan teknologi AI untuk memantapkan proses pemantauan dan akauntabiliti di lokap. – Bernama