PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan elemen pembelajaran antirasuah untuk murid peringkat prasekolah.
Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata inisiatif ini dirangka menerusi kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau menyatakan modul pembelajaran akan menggunakan medium yang mudah difahami dan diterima golongan berkenaan seperti komik dan digital.
“Saya ada berbincang dengan UPSI dan UUM, yang sudah saya persetujui untuk kita majukan kepada KPM (Kementerian Pendidikan) bagi prasekolah dalam bentuk yang lebih mudah.
“Ini supaya di peringkat prasekolah sudah ada elemen yang kita masukkan dalam pemikiran kanak-kanak untuk mereka melihat bahawa rasuah adalah perkara tidak baik,” katanya pada sesi khas bersama media di sini hari ini.
Azam turut mengalu-alukan pembuat filem tempatan yang mahu menjalinkan kerjasama dengan SPRM untuk menghasilkan karya mengenai kejayaan membanteras jenayah rasuah.
Beliau berkata setakat ini tiga penerbit telah menemuinya dan menyatakan minat menghasilkan filem mengenai SPRM.
“Dalam perbincangan saya telah usulkan beberapa kejayaan kes yang menarik untuk dijadikan filem yang mesti mempunyai plot dan mesej antirasuah yang jelas untuk dihidangkan kepada penonton.
“Bagaimanapun saya mahu pelakon lelaki dan wanita yang membintangi filem itu mesti yang terkenal agar ia dapat menarik perhatian ramai,“ katanya. – Bernama