KUALA LUMPUR: Sarawak mencapai pencapaian baharu dengan mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1 atau Sarawak Gold-1, ke China dan Singapura mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kejayaan tersebut membuktikan kemampuan Sarawak membangunkan varieti buah tropika premium yang berdaya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian itu juga membuktikan tiada negeri atau wilayah dipinggirkan oleh kementerian berkenaan mahupun Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan program serta projek berkaitan sektor keterjaminan makanan negara.
“Sarawak mencatat beberapa pencapaian membanggakan. Sebagai contoh, tahun hadapan negeri itu akan mula mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1, buat pertama kali ke China dan Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan yakin Sarawak mampu muncul sebagai zon tumpuan keterjaminan makanan negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
Pelbagai program dan projek berkaitan keterjaminan yang dilaksanakan di negeri itu adalah selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak.
Industri nanas diberi suntikan baharu melalui Projek Pemodenan dan Pemerkasaan Industri Nanas Berimpak Tinggi Malaysia Timur, yang membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk menyertai keseluruhan rantaian nilai nanas.
“Ini merangkumi pengeluaran, pemasaran, pembangunan produk hiliran, pemanfaatan sisa, sehinggalah mekanisasi dan automasi, bagi meningkatkan produktiviti serta menjadikan industri ini lebih berdaya saing.
Bagi memacu agenda menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi terbesar negara menjelang 2030, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan dan penyiapan 10 projek pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur pengairan dan saliran dengan jumlah kos keseluruhan RM271.89 juta.
Kementerian mempunyai sasaran dan dasar yang cukup jelas seperti menerusi program pengukuhan jagung bijian negara dengan sasaran meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 30% menjelang 2040 dan pengeluaran bawang tempatan sebanyak 30% menjelang 2030. – Bernama