RUU pindaan kewarganegaraan akan berkuat kuasa Jun atau Julai tahun depan

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang Perlembagaan Pindaan 2024 berkaitan kewarganegaraan akan dikuatkuasakan pada Jun atau Julai tahun depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata RUU berkenaan kini berada pada peringkat penelitian beberapa pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan hanya dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Sekarang kita tengah buat persiapan,“ katanya ketika berucap pada Dialog Belanjawan 2026 bersama Pemegang Taruh Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

“Pindaan di Parlimen telah selesai tetapi pelaksanaannya tahun depan sebab ia melibatkan perolehan, perubahan format borang dan sebagainya.”

Pada 17 Oktober tahun lepas, Dewan Rakyat melakar sejarah apabila RUU Perlembagaan Pindaan 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Pindaan ini digubal bagi mengukuhkan prinsip keadilan, kesamarataan dan ketelusan dalam pemberian kewarganegaraan, sejajar dengan realiti semasa dan aspirasi negara.

Mengenai keraguan berhubung isu dua kewarganegaraan, Saifuddin Nasution berkata kanak-kanak terlibat perlu membuat pilihan sama ada menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya apabila mencapai usia 18 tahun.

“Perlembagaan kita kata tidak boleh dua warganegara,“ katanya.

“(Jadi) kita kata (apabila) umur 18, dia pilih sama ada ikut warganegara ibu atau bapa.”

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Jabatan Imigresen telah mempercepat tempoh proses permohonan permit masuk kepada enam bulan selepas dokumen lengkap dikemukakan.

“Bermula 1 Sept ini, SOP (prosedur operasi standard) baharu akan berkuat kuasa,“ katanya.

“Sebaik sahaja permohonan permit masuk dibuat oleh pasangan warga asing, keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh enam bulan.”

Permit masuk ini ialah dokumen yang membenarkan warga asing untuk masuk dan tinggal di Malaysia bagi tujuan seperti belajar atau bersama keluarga.

Terdahulu pada sesi berkenaan, pelbagai input dan cadangan daripada pemegang taruh KDN berkaitan aspek keselamatan melibatkan wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil dikumpulkan bagi memastikan Belanjawan 2026 disediakan secara holistik dan terangkum. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *