RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dibentang bacaan pertama di Parlimen

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang membentangkan rang undang-undang itu turut memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Akta baharu itu antara lain bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi ambang persetujuan serta kriteria kehendak dalam menjalankan suatu projek pembaharuan semula bandar.

Berdasarkan naskhah biru RUU berkenaan, Fasal 19(1)(a) memperuntukkan jika pemilik memohon secara sukarela kepada Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negeri untuk menjalankan suatu projek pembaharuan semula bandar, ambang persetujuan hendaklah persetujuan sebulat suara.

“Jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negeri bagi suatu bangunan yang berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.”

“Bagi suatu bangunan yang berusia lebih daripada 30 tahun, ambang persetujuan hendaklah pada 75 peratus.”

“Bagi bangunan yang ditinggalkan, ambang persetujuan hendaklah 51 peratus atau bagi bangunan dengan laporan pemeriksa visual oleh jurutera profesional dengan perakuan amalan, ambang persetujuan hendaklah 51 peratus.”

Di bawah Fasal 19(2) pula menggariskan pengiraan tahun bagi suatu bangunan hendaklah ditentukan dari tarikh perakuan kelayakan menduduki atau perakuan penyiapan dan pematuhan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dikeluarkan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

“Fasal 19(3) menyebut pemaju yang diluluskan hendaklah berunding dengan orang yang berkepentingan untuk mencapai ambang persetujuan dan perundingan itu hendaklah melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan yang dilantik oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negeri.”

Sementara itu, Fasal 16 pula menetapkan tafsiran bagi sesuatu projek pembaharuan semula bandar yang terdiri daripada projek pembangunan semula bandar, projek penjanaan semula bandar dan projek penyegaran semula bandar.

Fasal 17 bertujuan memperuntukkan mana-mana pemaju yang diluluskan, hendaklah mematuhi kehendak bagi maksud menjalankan sesuatu projek pembaharuan semula bandar termasuk berunding dengan orang berkepentingan dan mendapat persetujuan mengikut ambang persetujuan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi mencadangkan supaya Nga menangguhkan bacaan kali kedua RUU itu dan mengadakan libat urus dengan jawatankuasa berkenaan.

Pengerusinya Yusuf Abd Wahab berkata terdapat beberapa perkara dalam RUU itu, khususnya berkenaan nilai ambang persetujuan yang memerlukan penjelasan lanjut.

Beliau berkata JKPK itu berpendapat, nilai ambang persetujuan dalam RUU itu perlu diteliti semula untuk memastikan penilaian yang lebih munasabah.

“JKPK ini telah mengadakan dua kali sesi libat urus dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada 17 Oktober 2024 dan 13 Ogos 2025.”

“Jawatankuasa ini tiada halangan dengan cadangan RUU tersebut dan bersetuju dengan kebanyakan penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan ketika libat urus, namun terdapat beberapa perkara yang memerlukan penjelasan lanjut.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *